Monday, 13 June 2011

ADAM DAN HAWA

Ketika Adam sedang terbaring tidur, lalu Allah mematahkan tulang rusuk Adam sebelah kiri paling bawah, dan lalu diciptakan-NYA pasangan Adam, iaitu Hawa. Dan setelah Adam terbangun dari tidurnya,tiba-tiba dilihatnya seorang wanita cantik telah berada disebelah kirinya.

Lalu Allah S.W.T berfirman kepada Adam: “itulah dia pasangan hidupmu,namanya Hawa, dan bersenang-senanglah kamu berdua dalam syurga ini, tetapi jangan sekali-kali engkau dekati “sajarat”,yakni satu batang kayu larangan”.

Setelah mendengar firman Allah demikian itu, dan melihat kecantikan Hawa, maka Adam tidak tahan hati, lalu ingin merangkulnya, akan tetapi Hawa mengelak dari rangkulan Adam, dan Adam lalu kembali mengadu hal itu kepada Allah dengan berkata:

“Ya Allah, Engkau ciptakan dia untuk pasanganku, tetapi kenapa dia mengelak bila ku dekati???”.

Lalu Allah S.W.T berfirman: “ Ketahuilah hai Adam, walaupun dia (Hawa) Ku-ciptakan dari diri kamu sendiri, namun sifat dan tabiatnya tak serupa Ku-ciptakan dengan sifat dan tabiat kamu, dan jangan sekali-kali kamu berkasar kepadanya, dan hendaklah berlemah lembut dengannya. Pujuk rayulah dia, keluarkanlah kata-kata manis dan gurau senda padanya, tentu dia akan datang kepadamu menyerahkan dirinya”.

Thursday, 12 May 2011

RENUNGAN


Hukama’ berkata :

“Wajib mendidik anak-anak semasa kecil , kerana waktu kecil seseorang itu mudah untuk mengikutinya, tidak ada sifat lain yang menegahnya untuk melakukan daripada tidak melakukannya, tidak ada keinginan untuk melakukan perkara lain bertentangan dengan suruhan. Apabila ia membesar, baik atau buruk, maka susah baginya untuk mengubah apa yang sebelumnya. Apabila mendidiknya dengan baik semasa kecil, maka didikan tersebut akan berkekalan dan akan bertambah dengan sifat baik yang lain. Sebaliknya jika ia dididik dengan akhlak yang tidak baik semasa kecil, perkara tersebut kekal dan susah untuk mengubah ke arah kebaikan. Kebanyakannya daripada mereka yang tidak elok akhlaknya adalah hasil daripada didikan masa kecil.”

Tuesday, 10 May 2011

ISTIDRAJ

Bismillahirrahmanirrahim

Merujuk kepada Mu’jam Arab Asasi , takrif ISTIDRAJ yang di tulis dalam kamus ini ialah sesuatu penipuan yang membawa kepada satu perbuatan yang tidak dikehendaki.


Jika dikata:" Istidrajullah al-abda"(Allah mengistidrajkan hambanya) membawa makna setiap kali hambaNya (insan) membuat, menambah atau memperbaharui kesalahan yang baru, maka setiap kali itu juga Allah akan membuat, menambah atau memperbaharui nikmatNya ke atas hambaNya itu dan setiap itu juga Allah membuatkan hambaNya itu lupa untuk memohon ampun atas dosa yang dilakukan terhadapnya dan setiap itu juga Allah akan mengambilnya sedikit demi sedikit (beransur-ansur) dan Allah tidak mengambilnya dengan cara yang mengejut.


Allah berfirman di dalam ayat 182 Surah Al-A'raf yang bermaksud :"Orang2 yang mendustakan ayat-ayat Kami (Allah), nanti akan Kami {binasakan mereka itu dengan beransur-ansur } sedang mereka tidak tahu."


Maksud ayat dari surah al-A’raf diatas, adalah maksud "istidraj" yang sedang kita bincang sekarang. Iaitu ia membawa makna "Istidraj" suatu perkara yang di luar adat kebiasaan yang belaku terhadap seseorang insan bertujuan untuk membinasakan 'insan' tersebut dengan cara beransur-ansur atau tidak disedari atau sedikit demi sedikit dan bukan mengejut. Jika kita beriman benar-benar pada Allah, Insya Allah takkan terjadi "istidraj" pada kita.


Ketika mana Tentera Islam mendapat harta Kisra (Maharaja Parsi) maka Saidina Umar Al-Khattab telah berkata: ["Wahai Tuhan! Aku ingin meminta perlindungan dari engkau dari menjadi orang yang mendapat "Istidraj" kerana aku mendengar Engkau berfirman (maksud ayat 182 Surah Al-A'raf) :Orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami(Allah), nanti akan Kami binasakan mereka itu dengan beransur-ansur sedang mereka tidak tahu" ]



Istidraj: "diberi kepada mereka nikmat dan dihilangkan kepada mereka erti kesyukuran".



Professor Dr.Qahtan Ad-Duri (salah seorang pensyarah di Universiti Al al-Bayt, Jordan) telah berkata di dalam bukunya Usuluddin Al-Islami:

Al-Istidraj :-



Iaitu perkara luar biasa yang berlaku ke atas orang Fasik atau Kafir sebagai tipu daya buat mereka. Ia akan menambahkan lagi kejahilan dan kebodohan mereka sehinggalah balasan Allah s.w.t menimpa mereka di dalam keadaan mereka lupa.
Allah s.w.t telah berfirman di dalam ayat 44 - 45 surah Al-An'am yang bermaksud:


"Tatkala mereka lupa akan apa yg diperingatkan kepada mereka, Kami bukakan bagi mereka beberapa pintu tiap-tiap sesuatu (nikmat dan kesenangan), sehinggalah apabila mereka telah bersuka ria dengan (kesenangan) yang mereka dapat itu, lalu dengan tiba-tiba Kami siksa mereka, sehingga mereka berputus asa." -44-


"Maka dihapuskanlah akhirnya kaum yang aniaya; dan pujian-pujian bagi Allah Tuhan Semesta Alam" -45-


Rasulullah s.a.w telah bersabda yang bermaksud:



"Apabila kamu melihat Allah memberikan kepada seorang hambaNya di dunia ini apa yang hamba itu suka atau berhajat, sedangkan hambaNya itu tetap dalam kemaksiatannya maka itulah ISTIDRAJ". Selepas itu Rasulallah s.a.w pun membaca ayat tadi 44- 45 (surah Al-An'am) yang bermaksud... (sila rujuk makna ayat 44 dan 45 pada perenggan yg tersebut tadi).

Assalamualaikum..

Sudah lama laman ku ini tidak dihiasi dengan sesuatu yang bermanfaat . Memandangkan satu ketika dulu, aku sendiri terlupa kata laluan masuk ke laman ini, langsung tidak lagi aku menjengah ke laman tintaku ini memandangkan sekembalinya di tanah air ku..banyak kekangan yang harus dilunaskan..


Moga dengan bernyawanya laman cinta ilahi ini..mampu untuk diri ini berkongsi idea, pendapat, dan sebagainya lagi.


Alhamdulillah, sekembalinya diri ini ke tanah air, Allah permudahkan setiap langkah dan rezeki ku. Alhamdulillah syukur tidak terhingga buat Mu Ya Allah. Mudah-mudahan setiap jejak langkah ku ini sentiasa berada dalam rahmat dan keredhaanMu Ya Allah.


Kini, bertugas sebagai pendidik j-QAF, dan masih lg bergelar seorang pelajar disamping menjadi pengajar lantaran masih lagi dalam program KPLI-SR j-QAF mode Latihan Perguruan Berasaskan Sekolah. Dan kini ditempatkn di SK Sawah Bahru, Labis, Johor. Pada awalnya, memang hati sedikit sedih memandangkan diri ditempatkan di Institut Pendidikan Guru Kampus Tun Hussein Onn, Batu Pahat. Tak pernah terduga untuk merantau lagi selepas 6tahun berada di tanah orang. Tapi setiap yang dirancang dan ditentukan pasti ada hikmahnya. Alhamdulilllah…ala kulli hal..Yakin akan ketentuanNya…Amin..


Dan kini, berkat dengan kesabaran, Alhamdulillah mempunyai rakan-rakan setugas di SK Sawah Bahru yang baik hati, baik hati dan baik hati lagi la..sebab semua nya memang baik hati belaka..huhu..Memang beruntung la dapat kenal dan bekerjasama dengan cikgu-cikgu disekolah ini yang ku anggap mereka-mereka ni seperti kakak2 n abang2 senior yang mantap..hehe…memang mantap n baik hati la sumenya..


Moga-moga, keberadaan diri ini dalam bidang pendidikan ini mampu membimbing anak-anak bangsa bagi melahirkan generasi2 yang mampu untuk menjadi pewaris-pewaris Islam untuk masa akan datang..Sama-sama tajdidkan niat dan sentiasa untuk terus bersama menegakkan syiar Islam…

Monday, 9 August 2010

Penghulu Wanita Syurga - Sayidatina Fatimah ra

Dia membesar dalam suasana kesusahan. Bondanya pergi ketika usianya terlalu muda dan masih memerlukan kasih sayang seorang ibu. Sejak itu, dialah yang mengambil alih tugas menguruskan rumahtangga seperti memasak, mencuci, mengemas rumah dan menguruskan keperluan ayahandanya.




Di sebalik kesibukan itu, dia juga adalah seorang yang paling kuat beribadah. Keletihan yang ditanggung akibat seharian bekerja menggantikan tugas ibunya yang telah pergi itu, tidak pula menghalang Sayidatina Fatimah daripada bermunajat dan beribadah kepada Allah SWT. Malam- malam yang dilalui, diisi dengan tahajud, zikir dan siangnya pula dengan sembahyang, puasa, membaca Al Quran dan lain-lain. Setiap hari, suara halusnya mengalunkan irama Al Quran.



Di waktu umurnya mencapai 18 tahun, dia dikahwinkan dengan pemuda yang sangat miskin hidupnya. Bahkan oleh kemiskinan itu, untuk membayar mas kahwin pun suaminya tidak mampu lalu dibantu oleh Rasulullah SAW. Setelah berkahwin kehidupannya berjalan dalam suasana yang amat sederhana, gigih dan penuh ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya. Digelar Singa Allah, suaminya Sayidina Ali merupakan orang kepercayaan Rasulullah SAW yang diamanahkan untuk berada di barisan hadapan dalam bala tentera Islam. Lalu, seringlah Sayidatina Fatimah ditinggalkan oleh suaminya yang pergi berperang untuk berbulan-bulan lamanya. Namun dia tetap redha dengan suaminya. Isteri mana yang tidak mengharapkan belaian mesra daripada seorang suami. Namun bagi Sayidatina Fatimah r.ha, saat-saat berjauhan dengan suami adalah satu kesempatan berdampingan dengan Allah SWT untuk mencari kasih-Nya, melalui ibadah-ibadah yang dibangunkan.



Sepanjang pemergian Sayidina Ali itu, hanya anak-anak yang masih kecil menjadi temannya. Nafkah untuk dirinya dan anak-anaknya Hassan, Hussin, Muhsin, Zainab dan Umi Kalsum diusahakan sendiri. Untuk mendapatkan air, berjalanlah dia sejauh hampir dua batu dan mencedoknya dari perigi yang 40 hasta dalamnya, di tengah bahang mentari padang pasir yang terik. Kadangkala dia berlapar sepanjang hari. Sering pula dia berpuasa dan tubuhnya sangat kurus hingga menampakkan tulang di dadanya.



Pernah suatu hari, sedang dia tekun bekerja di sisi batu pengisar gandum, Rasulullah datang berkunjung ke rumahnya. Sayidatina Fatimah yang amat keletihan ketika itu lalu meceritakan keperitan hidupnya itu kepada Rasulullah SAW. Betapa dirinya teruk bekerja, mengisar tepung, mengangkat air, memasak serta melayan anak-anak. Dia berharap agar Rasulullah dapat menyampaikan kepada Sayidina Ali, kalau mungkin boleh disediakan untuknya seorang pembantu rumah. Rasulullah saw merasa belas terhadap penanggungan anakandanya itu. Namun baginda amat tahu, sesungguhnya Allah memang menghendaki kesusahan bagi hamba-Nya sewaktu di dunia untuk membeli kesenangan di akhirat. Mereka yang rela bersusah payah dengan ujian di dunia demi mengharapkan keredhaan-Nya, mereka inilah yang mendapat tempat di sisi-Nya.



Lalu dipujuknya Fatimah r.ha sambil memberikan harapan dengan janji-janji Allah. Baginda mengajarkan zikir, tahmid dan takbir yang apabila diamalkan, segala penanggungan dan bebanan hidup akan terasa ringan. Ketaatannya kepada Sayidina Ali menyebabkan Allah SWT mengangkat darjatnya. Sayidatina Fatimah tidak pernah mengeluh dengan kekurangan dan kemiskinan keluarga mereka. Tidak juga dia meminta-minta hingga menyusah-nyusahkan suaminya.



Dalam pada itu, kemiskinan tidak menghilang Sayidatina Fatimah untuk selalu bersedekah. Dia tidak sanggup untuk kenyang sendiri apabila ada orang lain yang kelaparan. Dia tidak rela hidup senang dikala orang lain menderita. Bahkan dia tidak pernah membiarkan pengemis melangkah dari pintu rumahnya tanpa memberikan sesuatu meskipun dirinya sendiri sering kelaparan. Memang cocok sekali pasangan Sayidina Ali ini kerana Sayidina Ali sendiri lantaran kemurahan hatinya sehingga digelar sebagai 'Bapa kepada janda dan anak yatim' di Madinah.


Namun, pernah suatu hari, Sayidina Fatimah telah menyebabkan Sayidina Ali tersentuh hati dengan kata-katanya. Menyedari kesilapannya, Sayidatina Fatimah segera meminta maaf berulang-ulang kali. Apabila dilihatnya air muka suaminya tidak juga berubah, lalu dengan berlari-lari anak dia mengelilingi Sayidina Ali. Tujuh puluh kali dia 'tawaf' sambil merayu-rayu memohon dimaafkan. Melihatkan aksi Sayidatina Fatimah itu, tersenyumlah Sayidina Ali lantas memaafkan isterinya itu.


"Wahai Fatimah, kalaulah dikala itu engkau mati sedang Ali tidak memaafkanmu, nescaya aku tidak akan menyembahyangkan jenazahmu," Rasulullah SAW memberi amaran kepada puterinya itu apabila perkara itu sampai ke pengetahuan baginda. Begitu sekali kedudukan seorang suami yang ditetapkan Allah SWT sebagai pemimpin bagi seorang isteri. Betapa seorang isteri itu perlu berhati-hati dan sangat berhalus di saat berdepan dengan suami. Apa yang dilakukan Sayidina Fatimah itu bukanlah disengajakan. Apatah lagi, bukan juga dia merungut-rungut, marah-marah, meninggi suara, bermasam muka, merajuk atau lain-lain keranah yang menyusahkan Sayidina Ali k.w. Pun Rasulullah SAW berkata begitu terhadapnya.


Semasa perang Uhud, Sayidatina Fatimah telah turut sama merawat luka Rasulullah. Dia juga turut bersama Rasulullah semasa peristiwa penawanan Kota Makkah dan ketika ayahandanya mengerjakan 'Haji Wida' pada akhir tahun 11 Hijrah. Dalam perjalanan haji terakhir ini Rasulullah SAW telah jatuh sakit. Sayidatina Fatimah tetap di sisi ayahandanya. Ketika itu Rasulullah membisikkan sesuatu ke telinga Fatimah r.ha yang membuatkannya menangis, kemudian Nabi SAW membisikkan sesuatu lagi yang membuatkannya tersenyum.


Dia menangis kerana ayahandanya telah membisikkan kepadanya berita kematian baginda. Namun, sewaktu ayahandanya menyatakan bahawa dialah orang pertama yang akan berkumpul dengan baginda di alam baqa', gembiralah hatinya. Sayidatina Fatimah meninggal dunia enam bulan setelah kewafatan Nabi SAW, dalam usia 28 tahun dan dimakamkan di Perkuburan Baqi', Madinah.


Begitu sekali wanita yang utama, agung dan namanya harum tercatat dalam al-Quran, disusah-susahkan hidupnya oleh Allah SWT. Sengaja dibuat begitu oleh Allah kerana Dia tahu bahawa dengan kesusahan itu, hamba-Nya akan lebih hampir kepada-Nya. Begitulah juga dengan kehidupan wanita-wanita agung yang lain. Mereka tidak sempat berlaku sombong serta membangga diri atau bersenang-senang. Sebaliknya, dengan kesusahan-kesusahan itulah mereka dididik oleh Allah untuk sentiasa merasa sabar, redha, takut dengan dosa, tawadhuk (merendah diri), tawakkal dan lain-lain. Ujian-ujian itulah yang sangat mendidik mereka agar bertaqwa kepada Allah SWT.




Justeru, wanita yang berjaya di dunia dan di akhirat adalah wanita yang hatinya dekat dengan Allah, merasa terhibur dalam melakukan ketaatan terhadap-Nya, dan amat bersungguh-sungguh menjauhi larangan-Nya, biarpun diri mereka menderita.

SAIDATINA KHADIJAH RA

KHADIJAH RA:
Wanita di sisi Rasulullah


"Demi Allah, tidak ada ganti yang lebih baik dari dia, yang beriman kepadaku saat semua orang ingkar, yang percaya kepadaku ketika semua mendustakan, yang mengorbankan semua hartanya saat semua berusaha mempertahankannya dan ... darinyalah aku mendapatkan keturunan."


Begitulah Rasulullah saw berkata tentang keperibadian Khadijjah, istrinya. Seorang isteri sejati, muslimah yang dengan segenap kemampuan dirinya berkorban demi kejayaan Islam.


Siti Khadijah berasal dari keturunan yang terhormat, mempunyai harta kekayaan yang tidak sedikit serta terkenal sebagai wanita yang tegas dan cerdas. Bukan sekali dua kali pemuka kaum Quraisy cuba untuk mempersunting dirinya. Tetapi pilihannya justeru jatuh pada seorang pemuda yang bernama Muhammad, pemuda yang begitu mengenal harga dirinya, yang tidak tergiur oleh kekayaan dan kecantikan.


Saidatina Khadijah RA merupakan wanita pertama beriman kepada Allah dan Rasul-Nya. Beliau banyak membantu dan memperteguhkan tekad Rasulullah SAW melaksanakan risalah dakwah. Beliau sentiasa berusaha meringankan kepedihan hati dan menghilangkan keletihan serta penderitaan yang dialami oleh suaminya dalam menjalankan tugas dakwah. Inilah keistimewaan dan keutamaan Khadijah dalam sejarah perjuangan Islam. Beliau adalah sumber kekuatan yang berada di belakang Rasulullah SAW.


KESETIAAN YANG BERSEJARAH


Mari kita singkap kembali peristiwa yang sungguh mendebarkan jantung Rasulullah SAW. Peristiwa itu ialah penerimaan wahyu yang pertama di Gua Hira. Sekembalinya ke rumah, baginda berkata kepada isterinya yang tercinta, Aku berasa khuatir terhadap diriku.
Khadijah berusaha menabahkan hati suami yang ditaatinya dengan berkata, Wahai kekanda, demi Allah, Tuhan tidak akan mengecewakanmu kerana sesungguhnya kekanda adalah orang yang selalu memupuk dan menjaga kekeluargaan serta sanggup memikul tanggungjawab. Dirimu dikenali sebagai penolong kaum yang sengsara, sebagai tuan rumah yang menyenangkan tamu, ringan tangan dalam memberi pertolongan, sentiasa berbicara benar dan setia kepada amanah.

Apakah ada wanita lain yang dapat menyambut sedemikian baik peristiwa bersejarah yang berlaku di Gua Hira seperti yang dilakukan oleh Khadijah kepada suaminya? Apa yang dikatakan oleh Khadijah kepada suaminya pada saat menghadapi peristiwa besar itu menunjukkan betapa besarnya kepercayaan dan kasih sayang seorang isteri kepada suami yang dilandasi iman yang teguh. Sedikit pun Khadijah tidak berasa ragu-ragu atau syak di dalam hatinya. Persoalannya, dapatkah kita berlaku demikian?


Khadijah merupakan wanita kaya dan terkenal. Beliau boleh hidup mewah dengan hartanya sendiri. Namun semua itu dengan rela dikorbankannya untuk memudahkan tugas-tugas suaminya. Hal ini jelas menunjukkan beliau merupakan wanita yang mendorong kemajuan pahlawan umat manusia, melindungi pejuang terbesar dalam sejarah dengan mewujudkan kedamaian dalam kehidupan suaminya. Sikap inilah yang menjadi sumber kekuatan kepada Rasulullah SAW sepanjang kehidupan mereka bersama. Oleh itu, kita perlu berdoa semoga Allah memberi kita kekuatan untuk membantu menguatkan semangat jihad golongan lelaki yang seangkatan dengan kita.

KESETIAAN YANG MENDORONG KEGIGIHAN

Mari kita teliti, fahami serta hayati beberapa gambaran kesetiaan Khadijah yang telah membina kekuatan pada diri dan kehidupan penegak risalah Islam itu.


Sepanjang hidupnya bersama Rasulullah SAW, Khadijah begitu setia menyertai baginda dalam setiap peristiwa suka dan duka. Setiap kali suaminya ke Gua Hira, beliau pasti menyiapkan semua bekalan dan keperluannya. Seandainya Rasulullah SAW agak lama tidak pulang, beliau akan meninjau untuk memastikan keselamatan baginda. Sekiranya baginda khusyu bermunajat, beliau tinggal di rumah dengan sabar sehingga baginda pulang. Apabila suaminya mengadu kesusahan serta berada dalam keadaan gelisah, beliau cuba sedaya mungkin mententeram dan menghiburkannya sehingga suaminya benar-benar merasai ketenangan. Setiap ancaman dan penganiayaan dihadapi bersama. Malah dalam banyak kegiatan peribadatan Rasulullah SAW, Khadijah pasti bersama dan membantu baginda seperti menyediakan air untuk mengambil wuduk.


Kecintaan Khadijah bukanlah sekadar kecintaan kepada suami, sebaliknya yang jelas adalah berlandaskan keyakinan yang kuat tentang keesaan Allah SWT. Segala pengorbanan untuk suaminya adalah ikhlas untuk mencari keredaan Allah SWT. Allah Maha Adil dalam memberi rahmat-Nya. Setiap amalan yang dilaksanakan dengan penuh keikhlasan pasti mendapat ganjaran yang berkekalan. Firman Allah yang bermaksud:


Barang siapa yang mengerjakan amalan saleh, baik lelaki mahupun wanita dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya akan Kami berikan kepadanya kehidupan yang baik dan sesungguhnya akan Kami berikan balasan kepada mereka dengan pahala yang lebih baik daripada apa yang telah mereka kerjakan. (An-Nahl: 97)


Janji Allah itu pasti benar. Kesan kesetiaan Khadijah bukan sekadar menghasilkan kekuatan yang mendorong kegigihan dan perjuangan Rasulullah SAW, malah membawa barakah yang besar kepada rumah tangga mereka berdua. Anak-anak yang lahir juga adalah anak-anak yang saleh. Keturunan zuriat ahlul-bait Rasulullah SAW merupakan insan yang sentiasa taat melaksanakan perintah Allah SWT. Semua ini menghasilkan kekuatan yang membantu meningkatkan perjuangan Islam.


Wahai muslimah, sekarang adalah masa untuk kita hidupkan kembali hakikat ini dalam kehidupan kita. Semoga kekuatan Islam akan kembali mentadbir kehidupan insan.